Assalamualaikum! Erm entri kali ni just nak share World Literature Malay A1 gua masa buat IB dulu (cey macam dah lama benor meninggalkan IB!). Erm tak tau pun apa result World Lit ni pasalnya tau-tau subjek Malay A1 gua dapat 7 (alhamdulillah!), so memang tak tau markah or gred untuk World Lit ni. Tapi, sebab TOK dapat C, tak dapat lah nak share. Tak baguih buat apa nak share. hahahaha. Tapi Hazim dapat la share memandangkan TOK dia dapat A T___T Ha, selain tu, sebab dulu masa check traffic blog ni, ada orang sampai ke blog ni sebab dia google "World Literature Malay IB". Tu la, lu nak cari apesal tak tanya gua lu nak tengok world lit? So takpe la gua post la kot-kot di masa hadapan ada orang nak tengok lagi contoh world lit ke kan.. hewhew.. So world gua, gua buat perbandingan untuk novel Okonkwo dan Madame Bovary. Enjoyyyy~
p/s World Lit adalah essay yang tidak melebihi 1500 patah perkataan bagi subjek-subjek A1 dalam IB
p/s World Lit adalah essay yang tidak melebihi 1500 patah perkataan bagi subjek-subjek A1 dalam IB
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Tajuk: Bagaimanakah perwatakan watak
wanita dalam novel OKONKWO karya Chinua Achebe dengan MADAM BOVARY karya
Gustave Flaubert berkongsi persamaan dan mempunyai perbezaan dari segi
penonjolan watak oleh kedua-dua orang penulis?
Kata
orang, kerenah dan sikap manusia boleh berbeza mengikut sesuatu kawasan
tersebut. Hal ini kerana adat dan norma masyarakat sekeliling mempunyai
pengaruh yang besar dalam membentuk peribadi seseorang itu yang dipancarkan
melalui perwatakannya. Wanita merupakan insan yang begitu penting dalam
memastikan kelangsungan keturunan manusia di bumi ini. Pentingnya kaum wanita
dijelaskan dalam peribahasa Melayu yang berbunyi “Pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara”, yang mana wanita di sini diibaratkan sebagai tiang negara; jika
baik wanita dalam sesebuah negara itu, maka baiklah negara itu.[1]
Menerusi novel Okonkwo karya Chinua Achebe dan Madam Bovary, hasil sentuhan Gustave
Flaubert, esei ini akan membuat perbandingan antara karakter-karakter
wanita dalam kedua-dua buah novel ini.
Chinua
Achebe memaparkan wanita sebagai insan
yang memiliki perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap anak. Hal ini
dapat dibuktikan dengan tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh Ibu Nwoye
terhadap Ikemefuna yang merupakan tawanan dari Mbaino. Walaupun Ikemefuna baru
berada di Umuofia, Ibu Nwoye sudah menunjukkan sikap bertimbang rasa sehingga
menganggap Ikemefuna sebagai anaknya sendiri. Ikemefuna juga mengalami
muntah-muntah awalnya, dan Ibu Nwoye menghulurkan kasih sayangnya dengan ‘datang ke sisinya dan mengusap-usap dada
serta belakang anak muda itu’ (halaman 29). Hal yang sama turut dipancarkan
melalui watak Ekwefi, isteri kedua Okonkwo selepas
Ibu Nyowe. Larangan Okonkwo yang tidak membenarkan Ezinma memakan telur tidak
dipedulikan Ekwefi. Kasihnya Ekwefi terhadap anaknya yang begitu menyukai telur
memberinya keberanian untuk member anaknya makan telur secara rahsia. Hubungan
antara mereka begitu rapat yang mana digambarkan dalam pernyataan yang berikut:
“Perhubungan
antara mereka bukan setakat ibu dan anak. Ada terselit di dalamnya semacam rasa
persahabatan seperti orang yang setaraf kedudukannya, yang diperkukuhkan lagi
dengan sama-sama menyimpan rahsia makan telur di bilik tidur.” (halaman 79)
Meneliti
teks Madam Bovary pula, Emma
mempunyai seorang cahaya mata yang diberi nama Berthe, yang mana menjadi
kebanggaannya. Dia akan menanggalkan pakaian Berthe dan menunjukkan ruas-ruas
badannya kepada tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Baginya, ‘kanak-kanak adalah penghiburnya’ (halaman
92). Dia amat menyayangi kanak-kanak dan akan mendakap dan mendodoikan anaknya
dengan nyanyian yang merdu. Dalam satu peristiwa lagi, Emma telah menyebabkan
pipi Berthe terluka kerana terjatuh. Dia lantas terus ‘menerkam dan mendukung anaknya memeluknya sambil memanggil orang gajinya’
(halaman 100). Dia menyalahkan dirinya atas kejadian tersebut dan tidak mahu
turun ke ruang tamu untuk menjaga anaknya.
Dalam
aspek lain pula, kedua-dua penulis turut menggarap wanita sebagai golongan yang berjiwa seni. Dalam novel Okonkwo,
wanita akan berhias untuk Pesta Ubi Nasi Baharu dengan melukis corak berwarna
putih, kuning dan hijau tua di badan mereka. Mereka juga ‘melukis tubuh mereka dengan sisir kayu dan melorek corak-corak hitam di
perut dan di bahagian belakang mereka’ (halaman 39). Ini merupakan satu
kesenian yang ditonjolkan oleh kaum wanita masyarakat Ibo yang menjadi tradisi
puak tersebut.
Emma Bovary juga digambarkan sebagai
seorang yang berjiwa seni dan memiliki kehalusan dalam seni. Emma mempunyai
bakat melukis yang begitu menjadi kebanggaan suaminya, Charles. Charles sangat
berbangga mempunyai isteri sepertinya dan menggambarkannya dengan menggantung
dua lukisan pensel Emma di dinding. Selain itu, Emma juga berbakat dalam
bermain piano. Kehebatannya bermain piano digambarkan penulis dengan kenyataan
yang berikut:
“Dia
bermain piano dengan lancar tanpa berhenti-henti. Bunyi muzik dari piano itu
kedengaran jauh ke hujung kampung apabila jendela bilik terbuka luas...” (halaman
38)
Sebagai wanita, sesorang itu perlu
menjalankan rutinnya sebagai seorang suri rumahtangga. Menyorot kembali teks
Okonkwo, wanita diperkenalkan sebagai
watak yang begitu komited dalam menguruskan hal-hal rumahtangga. Seperti
contoh, isteri-isteri Okonkwo bergilir-gilir menyediakan makanan buat suami
mereka. Dalam bab 5, terdapat babak di mana isteri kedua Okonkwo, Ekwefi
menyediakan makanan daripada ubi nasi
bersama-sama Ezinma untuk Okonkwo sebelum perlawanan gusti bermula. Sebelum
Ezinma menghantar makanan ke obi Okonkwo, penulis turut menyatakan bahawa
sebelum itu anak isteri pertama Okonkwo, Obiagelli telah menghantar makanan ke
obi Okonkwo. Setelah Ezinma, Nkechi, anak perempuan isteri ketiga Okonkwo pula
yang menghantar makanan. Daripada babak ini, kita dapat melihat bagaimana
isteri-isteri Okonkwo begitu patuh dalam melaksanakan tanggungjawab mereka
sebagai suri rumahtangga, iaitu dengan menyediakan makanan dan bergilir-gilir
menghidangkannya kepada suami mereka.
Gustave Flaubert juga memegang pendapat
yang sama dalam aspek tanggungjawab seorang wanita terhadap suami dan
keluarganya. Keutamaan Emma setelah berkahwin dinyatakan dalam dialognya dengan
Monsieur Leon seperti yang berikut:
“Muzik saya? Memang! Bukankah saya mempunyai rumah
untuk diurus, seorang suami untuk dijaga dan seribu lagi tugas rumahtangga yang
mesti saya utamakan?”
Dialog
tersebut menguatkan fakta bahawa Emma mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap
urusan rumahtangganya. Selain itu, Emma juga akan menyusun rapi selipar Charles
di tepi katil, menjahit kot suaminya yang terkoyak, menggantikan butang kemeja
yang tercabut, dan menyusun topi suaminya dengan kemas di dalam almari. Sikap
suka menjaga hal ehwal rumahtangganya membuatkan Emma dihormati oleh penduduk
setempat, di mana ‘para peniaga di situ
memujinya kerana keistimewaannya sebagai seorang isteri yang bijak mengurus
rumahtangga’ (halaman 93).
Seterusnya, penulis kedua-dua novel menggambarkan
wanita sebagai isteri yang sentiasa berusaha untuk membahagiakan
kehidupan suaminya. Dalam novel Okonkwo, isteri kedua Okonkwo yang bernama
Ekwefi dikatakan sering hamil anak ogbanje.
Di kala isteri-isteri Okonkwo yang lain dapat memberikan zuriat kepada
Okonkwo, Ekwefi pula berduka kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya
yang terbesar selepas berumahtangga, iaitu memberikan keturunan buat suaminya.
Namun dia tidak berputus asa demi kebahagiaan suaminya. Hal ini dapat dilihat
apabila Ekwefi tidak serik-serik untuk hamil walaupun sudah sembilan kali
keguguran. Ujian ketabahan dirinya akhirnya berakhir apabila anaknya Ezinma
berjaya mengharungi kehidupan sehingga menjadi seorang anak gadis.
Meneliti kembali teks Madam Bovary,
Emma juga berusaha membahagiakan suaminya dengan cuba untuk mewujudkan perasaan
cinta dalam dirinya. Kadang-kala, dia melafazkan bait-bait romantik dan
menyanyikan lagu-lagu yang mendayu buat Charles. Walau bagaimanapun, Charles tidak
menunjukkan jika perasaan cintanya kepada Emma semakin bertambah. Hal ini yang
menjadi faktor utama Emma berasa bosan dengan Charles.
Afrika
dan Perancis, dua negara berbeza latar belakang dan kebudayaan yang dipisahkan
oleh lautan, nyata memberikan idea yang berbeza mengenai wanita kepada Chinua Achebe, penulis dari Afrika dan Gustave Flaubert, penulis dari Perancis.
Kedua-dua negara ini bukan sahaja berbeza dari segi geografi dan cuacanya,
malah berbeza perwatakan bagi wanita-wanitanya.
Kedudukan
yang terbaik bagi seorang isteri ialah di sisi suaminya. Maka, isteri yang baik
ialah isteri yang setia dan taat kepada suaminya tanpa sebarang alasan. Bagi
Okonkwo, dia memiliki isteri-isteri yang
taat dan setia kepadanya walaupun dilanda musibah. Ketiga-tiga isteri
Okonkwo mengikutinya berhijrah ke Mbanta berikutan hukuman dibuang dari Umuofia
yang diterimanya setelah melakukan jenayah betina. Kesetiaan isteri-isteri
jelas dilihat kerana mereka tidak langsung berpaling daripada Okonkwo yang pada
waktu itu menghadapi situasi yang sangat genting sedangkan jika
isteri-isterinya berkehendak meninggalkan Okonkwo, mereka mampu untuk melakukan
sedemikian namun tidak mereka lakukan.
Berbeza
dengan novel Madam Bovary pula, wanita diketengahkan sebagai simbol
kecurangan seorang wanita apabila Emma bertindak berlaku curang terhadap
suaminya dengan menjalinkan hubungan sulit dengan dua lelaki lain, iaitu
Monsieur Leon dan Monsieur Rodolphe Boulanger. Hal ini kerana Emma merasakan
bahawa Charles seorang yang membosankan
dan tidak menepati citarasanya. Bagi Emma, ‘seorang
lelaki sepatutnya serba tahu dan bijak dalam segala hal harian, mampu menaikkan
nafsu isteri, mengetahui nilai-nilai hidup dan segala misteri tentang kewujudan
manusia’ (halaman 38). Sikap acuh tak acuh yang diperlihat oleh Charles
kepada Emma membuatkan dia mudah jatuh hati kepada lelaki lain yang lebih
memahami kehendak dirinya.
Antara
lain perbezaan perwatakan wanita yang kelihatan menerusi kedua-dua novel ini
ialah wanita yang mempunyai naluri
sebagai pelindung. Pelindung di sini merujuk kepada sifat keibuan seorang
wanita terhadap anaknya yang tidak akan membiarkan anaknya disakiti, dibahayakan,
ataupun diapa-apakan. Meneliti teks Okonkwon, watak seorang ibu didapati begitu
melindungi anaknya dengan baik sekali. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi
terhadap satu-satunya anak yang dimiliki membuatkan Ekwefi sanggup melakukan
apa sahaja asalkan keselamatan anaknya terjamin. Sewaktu Ezinma demam panas,
yang mana kemudiannya dibawa oleh pawang Chielo ke gua Agbala, Ekwefi rela
membelakangkan ketakutannya dan mengejar Chielo secara rahsia dalam kegelapan
malam demi memastikan anaknya tidak diapa-apakan oleh pawang tersebut. Ketika
menunggu di luar gua, Ekwefi menangis sambil bersumpah di dalam hati untuk
meluru ke dalam gua tersebut jika dia mendengar sebarang tangisan Ezinma.
Kesanggupannya untuk mati bersama Ezinma jika anaknya itu disakiti jelas
menunjukkan betapa Ekwefi sangat melindungi anaknya.
Namun
berbeza pula dengan watak Emma Bovary. Hal ini kerana jika Ekwefi sedikit pun
tidak rela anaknya disakiti, Emma pula tergamak
menyakiti anaknya hanya kerana Berthe ingin mendapatkannya ketika
perasaanya tidak tenteram. Emma telah bertindak menolak anak kecilnya itu
sehingga terjatuh sebanyak dua kali. Kesannya, pipi Berhe terluka akibat
terkena kaki almari. Walaupun selepas kejadian itu Emma menyesal akan
tindakannya, namun peristiwa tersebut membayangkan sifat dalaman Emma yang
kurang dari aspek perlindungan terhadap anaknya. Seperti Ekwefi, dia
menunjukkan komitmennya untuk melindungi
anaknya dengan sepenuh hati, namun Emma pula bersikap seperti acuh tidak acuh.
Secara
keseluruhannya, gaya para novelis menggarap watak wanita di dalam novel
mempunyai persamaan walaupun dilatari kebudayaan yang berbeza. Perbezaan antara
kedua-dua watak wanita pula mungkin dipengaruhi oleh norma masyarakat setempat
dan perbezaan taraf hidup sesuatu watak itu. Watak wanita merupakan elemen yang
sangat penting dalam sesebuah novel itu, bak kata pepatah, tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia. Kesimpulannya,
setiap wanita mempunyai sifat yang berbeza, namun tetap berkongsi naluri yang
sama, kerana mereka tetap adalah seorang wanita.
(1460 words)
wanna upload mine too! :D
ReplyDeletehaha silakan!
ReplyDeleteSalam cik. Saya pelajar ib untuk tahun 2015-2017 dan mengambil malay sbg subjek A1 juga. Mungkin dah agak lama entri ini tetapi cik ada lagi tak novel madam bovary? Terima kasih :)
ReplyDeletei love your post because it gives me an idea somehow how to start my essay.THanks!!
ReplyDelete