Order Guidelines

Friday, December 30, 2011

Hati ke Hati


*gambar dari Bro Nayzak. Carilah kat deviantart. Beliau sangat bagus. Respek pada dia sebab boleh berdakwah melalui kreativitinya berkarya*

Nina masih ingat lagi, ketika itu Nina berusia 6 tahun, dan berkawan baik dengan Mika. Mika ialah seorang kanak-kanak perempuan yang juga bertadika di tadika yang sama dengan Nina. Walaupun Nina aktif dan suka bermain lari-lari dengan kanak-kanak lelaki yang lain, namun Nina juga gemar belajar membaca. Dan akhirnya, Nina sudah pandai membaca pada peringkat tadika. Selain itu, Nina juga aktif menyertai pelbagai jenis pertandingan dan juga persembahan yang disertai oleh tadika itu. Sehinggakan Nina pernah diketawakan oleh kawan-kawannya pada hari graduasi tadika apabila Nina muncul di atas pentas, menceritakan kisah Singa dengan Tikus dengan berpakaian kostum seekor singa. Dengan takdir Allah, Nina telah dipilih oleh guru tadikanya untuk menjadi pelajar terbaik dan menerima hadiah yang paling besar ketika hari graduasi.

Enam tahun kemudian. Nina menerima keputusan 5A dalam UPSR, dan Nina masih ingat betapa gembiranya ibunya menjemputnya dari sekolah dengan membawa sekeping slip peperiksaan yang digenggam erat olehnya. Hari-hari Nina kemudiannya sungguh gembira. Pada suatu hari, ibu Nina berkata kepadanya, "Tak sia-sia Nina dapat pelajar terbaik masa tadika dulu. Terbukti sudah bahawa Nina layak menerimanya."

Nina hairan, lalu bertanya, "Kenapa ibu?"

Ibunya menceritakan bagaimana emak Mika begitu tidak berpuas hati hanya kerana Nina yang mendapat gelaran itu, dan bukan anaknya. Dia mengatakan bahawa Nina mendapat gelaran itu hanya kerana guru tadika itu mempunyai talian persaudaraan dengan Nina, padahal baginya anaknya lebih layak. Nina termenung. Dia tidak dapat mengingati apa yang pernah berlaku ketika hidupnya di tadika dahulu. Apa yang dia dapat ingat adalah, memang Nina sangat bersungguh-sungguh untuk belajar ketika di tadika dulu walaupun kehidupan hariannya penuh dengan aktiviti bermain. Pernah sekali itu Nina seorang diri duduk di satu sudut untuk membaca, sedangkan kanak-kanak yang lainnya berlari-lari mengejar antara satu sama lain. Pernah sekali itu Nina membaca buku mengenai warna. Baginya buku itu sangat menarik, lalu dia syorkan buku itu kepada rakannya untuk membaca, namun hanya ditatap kosong oleh rakannya itu. Maka, Nina bertekad kali ini untuk menganggap bahawa gelaran yang diberikan kepadanya enam tahun lalu itu adalah sesuatu yang dia berhak ke atasnya, dan bukan atas sebab pertalian saudara. Nina bertekad untuk melupakan kata-kata emak Mika yang kelihatannya sangat mesra dengan dirinya ketika berdepan dengannya.

Tiga tahun kemudiannya. Nina sekali lagi berjaya menggembirakan hati ibu dan ayahnya apabila dia berjaya menggapai keputusan 8A dalam PMR. Untuk kesekian kalinya, Nina masih ingin mencuba untuk memohon kemasukan ke sekolah berasrama penuh bagi mengembangkan sayapnya setelah kegagalannya untuk mendapat tempat semasa di Tingkatan 1. Namun, Allah itu yang berkuasa dalam sesuatu perancangan. Nina tidak berjaya mendapat tempat di mana-mana sekolah berasrama penuh. Walaupun sedikit terkilan, namun Nina tetap memujuk dirinya dengan berkata kejayaan tidak terletak di mana tempat kita belajar. Dalam pada itu, Nina mendapat tahu bahawa seorang wanita yang juga merupakan emak kepada seorang lagi rakannya ketika di sekolah mengatakan bahawa keputusan yang Nina dapat itu tidak berkualiti, dan disebabkan itu Nina tidak dapat meneruskan pengajiannya di sekolah-sekolah berasrama. Baginya, keputusan PMR anaknya yang berjaya mendapat tempat di sebuah sekolah berasrama vokasional adalah lebih berkualiti berbanding Nina walaupun anaknya tidak mendapat keputusan 'straight A's' dalam PMR. Nina hanya mampu mengeluh mendengar kata-kata sebegitu. Yang pasti, Nina mahukan keputusan yang terbaik baginya dalam SPM nanti.

Dua tahun kemudiannya pula. Nina akhirnya menamatkan zaman persekolahannya. Pada bulan Mac tahun berikutnya, Nina sekali lagi, dengan izin dan rahmat Allah berjaya mendapat keputusan 'straight A's' dalam SPM. Kali ini Nina telah menitiskan air matanya kerana terlalu gembira, di samping ibunya yang menemaninya di tepi ketika slip peperiksaan diserahkan kepadanya. Bagi Nina, ini adalah buktinya bahawa walaupun dia gagal mendapat tempat di sekolah berasrama penuh, dia masih mampu berdiri setanding dengan pelajar-pelajar pintar di sekolah-sekolah berasrama penuh.

Terdetik di hati Nina, tidakkah mak cik yang dahulunya mengatakan keputusan PMRnya tidak berkualiti itu mengkritik keputusan SPMnya juga?

Akhirnya Nina melanjutkan pengajian dalam kursus persediaan sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kedoktoran. Suatu hari, dengan izin Allah, Nina mendapat berita bahawa anak mak cik tersebut melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan. Di samping itu, agaknya demi untuk menyedapkan hatinya, mak cik itu berkata kepada seseorang bahawa kursus kedoktoran yang Nina ambil itu tidak bagus kerana katanya, pada zaman sekarang, orang lebih mahukan jururawat berbanding doktor. Ya Allah, pada masa itu Nina hanya mampu tertawa...

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


*gambar ihsan google*

Cerita di atas ini takde kaitan dengan sesiapa, dan nama-nama watak hanyalah rekaan semata-mata, kalau ada ter-sama tu, hanya kebetulan lah. Haha

Macam tu lah. Dapat tak point cerita ni? Saya bukan hendak mengkritik atau apa, tapi menerusi cerita ini, kita boleh lihat macam mana sikap masyarakat kita yang suka iri hati akan kejayaan orang lain. Sampai bila kita nak maju kalau macam ni je sudahnya hari-hari? Cubalah sokong menyokong antara satu sama lain, bukankah itu lebih bermanfaat daripada beromong kosong? Menafikan sesuatu yang kita sudah tahu apa kebenarannya? Ingatlah, tin yang berisi kalau kita baling ke atas lantai, bunyinya sangat rendah, tetapi kalau tin kosong? Ya, memang kuat bunyinya.

Kejayaan, dan kegagalan itu, semuanya milik Allah. Manusia yang merasainya hanya dapat berbuat sedemikian apabila Allah menghendakinya.

Semoga kita yang generasi baru ini tak perlulah mewarisi sikap-sikap macam ni. Macam tak perlu je dalam masyarakat kita kan? Tambah-tambah bila buat kat seorang kanak-kanak perempuan, atau gadis. Macam tak gentle langsung. Hahahahaha. Come on la, that is soooo uncool...

Okay la, no offense ya. Ini sekadar renungan bersama.

Assalamualaikum..

No comments:

Post a Comment